Assalamualaikum W.B.T dan Salam Malaysia MADANI.
Pertumbuhan keseluruhan ekonomi Malaysia pada 2023 meningkat 3.7 peratus berbanding 8.7 peratus pada 2022 didorong oleh sektor perkhidmatan dengan pertumbuhan 5.3 peratus, diikuti sektor pembinaan (6.1 peratus) dan pembuatan (0.7 peratus). Dalam masa yang sama, Malaysia turut mencatatkan jumlah pelaburan yang telah diluluskan tertinggi dalam sejarah dengan RM329.5 bilion pada tahun yang sama. Kadar inflasi tahun yang sama merekodkan peningkatan perlahan kepada 2.5 peratus berbanding tahun sebelumnya. Kadar pengangguran di Malaysia pada November 2023 telah kembali pada paras pra-pandemik iaitu 3.3 peratus.
Saya perlu sebutkan ikhtisar peratusan dan pencapaian ekonomi di atas – bagi memberikan sedikit latar rujukan berkenaan situasi dan keadaan ekonomi Negara sepanjang tahun 2023. Latar rujukan ini penting bagi kita melihat ruang untuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berperanan dalam menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada kumpulan sasar melalui inisiatif-inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhannya.
Ikhtiar dan daya usaha KPDN melalui Inisiatif Payung RAHMAH MADANI mendapat pengiktirafan apabila Analisis Indeks Harga Pengguna Tahunan 2023 keluaran Jabatan Perangkaan Malaysia mengakui segala langkah dan ikhtiar ini menyumbang kepada pengurangan beban kumpulan berpendapatan rendah.
Ini terus diperkukuh dengan strategi menangani kos sara hidup secara ‘whole-of-government-approach’, pendekatan seluruh kerajaan – meliputi pelbagai ikhtiar yang bersifat rentas Kementerian. KPDN tidak bergerak sendirian; dan jauh sekali bertindak secara ‘silo’. Gagasan dan aspirasi Ekonomi Madani yang dihasratkan YAB Perdana Menteri diterjemah dalam gerak kerja menangani kos sara hidup dan memacu ekonomi domestik yang berkesan.
Pencapaian tahun 2023 sebenarnya menjadi asas dan panduan untuk kita merangka lebih banyak ikhtiar dan daya usaha untuk kesejahteraan rakyat. Cabaran pastinya ada. Namun, ia mesti dihadapi dengan semangat dan iltizam pasukan KPDN secara keseluruhannya. Empat bidang fokus utama untuk tahun 2024, yang merangkumi: ketangkasan penguatkuasaan, pemacuan ekonomi domestik, daya upaya dan advokasi kepenggunaan; akan turut bergerak seiring dengan peranan penting KPDN sebagai Sekretariat NACCOL.
Demi kelestarian perkhidmatan KPDN kepada rakyat, prinsip tadbir urus yang baik, telus dan keterangkuman diberi penekanan untuk memastikan perkhidmatan awam disampaikan dengan lebih berintegriti. Tumpuan juga diberi dalam membangunkan modal insan yang tangkas bagi melengkapkan warga KPDN dengan pengetahuan dan keupayaan yang imperatif ke arah penyampaian perkhidmatan yang berkualiti dan cekap serta mudah diakses oleh masyarakat.
Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga KPDN atas kerjasama dan usaha gigih bagi menjayakan semua dasar dan program dengan cemerlang sepanjang tahun 2023. Semoga kita akan terus melakar lebih kejayaan pada masa akan datang.
Assalamualaikum W.B.T dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sekali lagi berjaya menerbitkan Laporan Tahunan 2023. Usaha ini menterjemahkan seluruh komitmen bersepadu warga Kementerian dalam melunaskan segala tanggungjawab dan menyumbang perkhidmatan terbaik kepada semua pemegang taruh.
Sebagai Kementerian yang menjadi peneraju bagi perdagangan dalam negeri, pendayaupayaan pengguna dan kos sara hidup yang stabil, KPDN serius melaksanakan pelbagai strategi untuk merancakkan ekonomi demi kestabilan negara serta rakyat. KPDN juga sentiasa proaktif dalam melindungi hak pengguna dan ekosistem peniaga dengan pemantapan penguatkuasaan yang responsif, sekali gus membawa kepada organisasi yang berbudaya cemerlang.
Kementerian akan terus memperkasakan dan menambahbaik inisiatif di bawah Payung RAHMAH MADANI yang menjadi satu daripada strategi menggerakkan agenda menangani kos sara hidup rakyat. Saya percaya manfaatnya dapat dirasai dan memberi faedah kepada semua golongan rakyat yang memerlukan. Inisiatif ini menjadi agenda nasional bukan hanya kementerian semata-mata tetapi ia juga memayungi kebajikan dan kesejahteraan kepada rakyat.
Melangkah ke hadapan, selaras dengan hasrat Kerajaan untuk menggalakkan digitalisasi menerusi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, KPDN akan memperkukuh tadbir urus dan mengadaptasi teknologi ke arah organisasi cemerlang. Melalui inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan atau (Retail Digitalisation Initiative – ReDI), ia adalah merupakan salah satu langkah proaktif Kementerian untuk memberikan pendedahan kepada peniaga luar bandar khususnya berhubung keperluan pengoperasian perniagaan yang berkonsepkan digital terutamanya melalui penggunaan kemudahan e-wallet dalam pelbagai transaksi perniagaan.
Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada seluruh warga kerja Kementerian atas komitmen untuk merealisasikan seluruh perancangan yang disusun sepanjang tahun 2023. Saya berharap kita dapat melalui segala cabaran dengan iltizam dan terus komited merancang serta melaksanakan pelbagai inisiatif kepada rakyat Malaysia secara keseluruhannya.